PARIT – Ratusan pokok markisa tumbang akibat cuaca buruk menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi satu-satunya pengusaha tanaman tersebut secara komersial di daerah Perak Tengah iaitu Lister Trading.
Pemiliknya, Leong Kam Lam, 55, berkata, ia bagaimanapun tidak mematahkan semangat untuk meneruskan usaha penanaman markisa di ladang seluas empat hektar di Kampung Kubang Chandung di Bota, di sini.
Ujarnya, berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pertanian, dia dengan bantuan ahli keluarga dan pekerja cekal berhadapan situasi tersebut dan akhirnya berjaya mengutip sekitar dua tan buah markisa pada musim menuai yang lalu.
“Buah ini mempunyai permintaan memberangsangkan dalam pasaran. Jadi, sasaran kami ketika ini adalah untuk mengeksportnya ke Singapura menjelang hujung tahun ini.
“Untuk permulaan, kami berhasrat mengeksport kira-kira satu tan buah markisa ke Singapura. Sudah ada pihak menyatakan minat untuk mendapatkan buah ini daripada kami,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pada masa sama, Kam Lam berkata, pihaknya juga berjaya mendapatkan sijil Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dari Jabatan Pertanian, sekali gus memudahkan laluan untuk mengeksport buah markisa keluaran mereka.
Dia berkata, pihak kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) juga membantu syarikatnya menerusi Skim Pembangunan Usahawan.
“Bagi memastikan buah markisa dapat ditanam dengan baik, kami perlu memasang tiang besi bersimen sebagai sokongan (terhadap anak pokok). Jadi, saya telah memohon kepada Perak SADC untuk bantuan kewangan bagi tujuan tersebut.
“Setelah mereka melakukan kunjungan ke ladang kami, akhirnya peruntukan RM60,000 berjaya diperoleh sekitar Mac lalu. Dana itu membantu dalam usaha memasang tiang tersebut yang menelan belanja sekitar RM15 setiap satu,” katanya.
Menurutnya, kira-kira 400 tiang simen berkenaan telah berjaya dipasang setakat ini, yang mana meliputi kira-kira 15 peratus daripada kawasan tanaman buah markisa di ladangnya.
“Buah ini bukan boleh ditanam sesuka hati, ia perlu dijaga dengan rapi. Sebagai contoh, ia perlu dibaja sebanyak tiga kali sebulan iaitu pada setiap 10 hari.
“Barulah buah yang dihasilkan itu tinggi nilai grednya. Ketika ini, buah markisa gred A dijual sekitar harga RM5 sekilogram, manakala gred B dijual pada harga RM3 sekilogram,” katanya.
Tambahnya, usaha kerajaan negeri dalam membantu golongan peladang sepertinya perlu diteruskan kerana ia membolehkan mereka mengharungi cabaran dalam bidang berkenaan.
“Jadi, saya berharap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dapat meneruskan usaha baik yang telah dilaksanakan tersebut pada masa hadapan,” katanya.