ALOR SETAR – Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor menerima keputusan tidak dicalonkan di mana-mana kerusi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, kali ini.
Beliau menerima keputusan tersebut dengan ikhlas dan menganggap ia sebagai antara strategi BN dan Pakatan Harapan (PH) negeri untuk memenangi pilihan raya itu.
“Saya sedar bahawa amat sukar keputusan ini dibuat oleh pimpinan lebih-lebih lagi dalam keadaan UMNO perlu ‘struggle battle’, ‘do or die’.
“Saya menerima seikhlasnya keputusan ini dan percaya bahawa lebih besar hikmah akan diperoleh kerana tunjang kita berorganisasi adalah taat dan wala’ kepada kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun katanya, pada PRN ini, parti mempunyai tugas paling mencabar iaitu untuk menguasai 55 peratus pengundi di negeri ini dalam kalangan anak muda berumur 40 tahun ke bawah.
“Perspektif dan naratif yang perlu dibawa mesti selari bersama kewibawaan UMNO Kedah terutama calon-calon yang bakal ditonjolkan nanti
“Saya percaya ia mampu diterjemahkan dengan baik pada 12 Ogos nanti dan mengajak semua sahabat supaya setia bersama perjuangan. Teruskanlah selekoh terakhir kita ini dengan tekad demi agama, bangsa dan negara agar kejayaan mampu dimiliki oleh BN-PH pada PRN kali ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE