KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim menjadi pesaing terdekat buat Menteri Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika memperkenalkan senarai 108 calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding di enam negeri (Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang) pada Majlis Pengumuman BN PRN ke-15 di Dewan Tun Hussein Onn, di sini, malam ini.
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon-calon terdiri daripada muka baharu, penyandang sedia ada serta calon yang pernah bertanding sebelumnya.
“Daripada 245 kerusi, insha-Allah BN letak seramai 108 orang calon.
“Calon baharu adalah 63 peratus, 17 peratus penyandang sedia ada yang telah dicalonkan semula.
“Seterusnya, 20 peratus adalah mereka yang pernah bertanding sebelum ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE