fbpx

PH, BN Selangor serah memorandum kepada Istana Selangor Isnin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Danial (tengah baju merah) bersama sekumpulan orang ramai yang menyertai Himpunan Daulat Tuanku di luar pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini. Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor akan menyerahkan satu memorandum kepada Istana Selangor berkaitan isu kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menghina Sultan Selangor.

Memorandum yang turut disertai beberapa pertubuhan kerajaan (NGO) itu akan diserahkan ke Istana Alam Shah, Klang kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Angkatan Muda PH negeri, Danial Al-Rashid berkata, pihaknya sedang giat mengumpulkan tandatangan semua pihak terlibat dan dokumen bagi menyokong memorandum tersebut.

Katanya, penyerahan memorandum itu sebagai simbolik terus menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Menerusi dokumen yang disertakan itu, kami mahu membuktikan sokongan rakyat termasuk anak muda Selangor mengenai isu berkenaan.

“Selain itu, ia memberi pengajaran kepada pihak lain bahawa kami tidak hanya duduk diam dan terus melawan selagi kes (Sanusi) berjalan dan dibicarakan,” katanya ketika ditemui selepas Himpunan Daulat Tuanku: Pertahan Institusi Diraja di luar pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, petang tadi.

Himpunan itu disertai lebih 100 penyokong BN Selangor dan empat NGO dengan turut dikawal ketat anggota polis.

Jelas Danial, memorandum itu juga merupakan kesinambungan daripada himpunan berkenaan sebagai satu solidariti yang jelas menyokong usaha mempertahankan institusi diraja Selangor dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dilakukan Sanusi.

“Kita berharap perkara itu tidak akan berulang dan tiada lagi mana-mana pihak berkepentingan politik murahan mengutuk kepimpinan kesultanan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, himpunan itu turut akan bina persepsi baharu dalam politik supaya menghentikan permainan politik fitnah dan mencaci.

“Mereka sepatutnya membawa polisi yang baik ke Selangor seperti menerusi kejayaan daripada Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Kita yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan boleh melawan secara polisi based (asas) dan bukannya politik sedemikian rupa,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI