KANGAR – Perlis Team nekad untuk melakukan kejutan pada Kejohanan Kebangsaan Berbasikal (Jalan Raya) 2023 yang berlangsung di Bukit Katil, Melaka bermula hari ini sehingga Ahad.
Pengarah Pasukan Perlis Team, Esham Shahlin berkata, saingan kali ini bakal memberi kejutan apabila beberapa pasukan telah bergabung di bawah satu nama bagi menyertai kejohanan itu.
“Kali ini, gabungan pasukan berbasikal Perlis menampilkan wakil pasukan Willpro, Nakawan Cycling Club (NCC) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) tekad memberi saingan sengit dengan menyasarkan sekurang-kurangnya meraih kemenangan dalam dua kategori dipertandingkan.
“Kita bergabung kali ini di bawah Perlis Team bagi membawa nama negeri dalam kejohanan berkenaan dan berpotensi untuk menang bagi kategori remaja dan terbuka lelaki,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan pasukan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini semalam.
Tambahnya, Perlis Team akan menyertai kategori remaja, terbuka lelaki, master, veteran dan terbuka wanita dalam kejohanan tersebut.
Majlis pelepasan pasukan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan yang turut dihadiri Pengarah MSN negeri, Anuar Abidin dan Penolong Pengarah Bahagian Sukan Jabatan Belia dan Sukan negeri, Fauzi Abdullah Saleh.
Menurut Esham, Perlis Team akan cuba menyaingi pasukan lain khususnya Terengganu yang sememangnya diketahui ramai mendominasi sukan itu.
Katanya, Perlis Team akan berusaha mengembalikan semula zaman kegemilangan sukan berbasikal yang satu ketika dahulu menjulang nama negeri itu dan mempunyai ramai atlet mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Muhammad Azmir berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana persatuan sukan yang bernaung di bawah MSN.
“Kita berharap agar persatuan-persatuan berbasikal di negeri ini dapat menyusun semula struktur dengan memperkemaskan program-program yang dirancang.
“Selain berbasikal, persatuan-persatuan sukan lain yang bernaung di bawah MSN juga perlu lebih aktif dalam menjadikan sukan platform menyokong agenda kerajaan negeri dalam beberapa aspek seperti pelancongan, pembangunan atlet dan lain-lain lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE