fbpx

Penyokong berhabis duit beli peralatan layar gergasi untuk final Piala FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ISA sedang membuat persiapan bagi mengadakan tayangan layar gergasi perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan KL City di Kampung Parit Kudus, Pontian, malam esok.

PONTIAN – Peminat tegar bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sanggup menjadikan halaman rumahnya sebagai lokasi tayangan layar gergasi perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan Kuala Lumpur City (KL City), malam esok.

Mohd. Isa Amid, 49, berkata, dia mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membeli layar putih dan projektor berharga RM2,000 untuk memberikan peluang kepada penduduk setempat menonton kehangatan aksi final tersebut.

Katanya, selain perlawanan biasa melibatkan JDT pada setiap minggu, pihaknya juga pasti mengadakan tayangan ‘Big Screen’ ketika perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA pada setiap tahun.

“Sepertimana program wayang pacak oleh Jabatan Penerangan yang mengadakan tayangan wayang gambar suatu masa dulu, tayangan ‘Big Screen’ seperti mengimbas kenangan semasa kecil dulu.

“Mereka yang datang secara sukarela boleh membawa makanan seperti nasi lemak, bihun, mi goreng, kuih-muih sebagai pengalas perut semasa menyaksikan perlawanan tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Kudus, di sini, hari ini.

Mohd. Isa menambah, bagi perlawanan akhir Piala FA pada malam esok, dia menganggarkan kehadiran seramai 50 hingga 100 orang akan datang menyaksikannya yang bermula pada pukul 9 malam hingga selesai.

“Dalam masa yang sama juga dapat merapatkan silatturahim antara penduduk selain merasai suasana perlawanan akhir beramai-ramai walaupun tidak dapat datang ke stadium,” ujarnya juga pengurus PT Kudus FC.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Cawangan Sanglang, Hasnah Ahmad berkata, pada sebelah pagi pula diadakan program ‘Rewang Sekampung’ bagi memasak nasi bariani untuk jamuan pada sebelah malamnya.

Katanya, pihaknya menjemput semua penduduk Sanglang dan sekitarnya menyaksikan perlawanan akhir yang akan ditayangkan menggunakan layar putih gergasi di hadapan dewan tersebut.

“Turut dipasang dua buah khemah pengantin untuk tempat orang ramai menjamu selera sebelum perlawanan bermula selain cendermata kepada penonton yang bertuah,” katanya

Menurut Hasnah, penganjuran program ini sebagai satu sokongan kepada pasukan bola sepak JDT agar mereka terus mencapai kemenangan dengan mengalahkan KL City. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI