SEBERANG PERAI – Kekurangan fizikal tidak menghalang seorang penolong akauntan untuk memberikan perkhidmatan cemerlang hingga layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) oleh Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Pulau Pinang, baru-baru ini.
Khairuddin Saad, 40, yang telah lima tahun berkhidmat di Politeknik Seberang Perai (PSP) berkata, dia terharu dan gembira untuk menerima penghargaan tersebut.
Kata bekas graduan PSP dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan (Pengurusan) yang mempunyai kesukaran untuk bergerak disebabkan keadaan kakinya yang agak tempang, pengiktirafan berkenaan membuktikan golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya juga boleh berjaya.
“Sebagai bekas pelajar PSP, saya berasa bertuah kerana dapat bertugas kembali di tempat saya menimba ilmu suatu ketika dahulu dan sekarang, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan yang terbaik kepada PSP pula,” katanya, di sini.
Khairuddin merupakan salah seorang daripada 70 kakitangan PolyCC Zon Pulau Pinang yang menerima anugerah itu dalam satu majlis khas yang diadakan di Hotel Ixora, Butterworth, baru-baru ini.
Selain sijil penghargaan, kesemua pemenang APC turut membawa pulang Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang bernilai RM1,000. – KOSMO! ONLINE