ALOR SETAR – Pemain industri yang terlibat dalam pembekalan minyak masak paket bersubsidi diminta bersedia untuk merancang pelan perniagaan terbaik berikutan pelaksanaan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kuota minyak masak bersubsidi yang berjumlah 60,000 tan sebulan ketika ini, dijangka berkurangan apabila subsidi bersasar dilaksanakan.
Katanya, perkara itu mungkin akan berlaku dalam tempoh paling awal dua tahun lagi memandangkan kerajaan ketika ini sedang menanti data lebih komprehensif disiapkan di bawah Pangkalan Data Utama (PADU) dalam usaha mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan kepada golongan memerlukan.
“Mahu tak mahu, kerajaan terpaksa melaksanakan sistem subsidi bersasar bagi memastikan bantuan serta subsidi diberikan, sampai kepada golongan yang tepat.
“Pemberian subsidi bersasar ini mungkin akan melibatkan barangan yang memerlukan perbelanjaan lebih besar di pihak kerajaan terlebih dulu seperti diesel atau petrol tetapi minyak masak juga tidak akan terkecuali nanti.
“Apabila perkara itu dilaksanakan, sudah tentu kuota minyak masak bersubsidi yang kini jumlahnya 60,000 metrik tan sebulan, akan berkurangan,” katanya selepas merasmikan Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara di Kampung Alor Senjaya dekat sini, hari ini.
Menjelaskan perkara itu Salahuddin berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengurangkan kuota tersebut secara mengejut bagi melaksanakan pemberian subsidi bersasar bagi memastikan semua pihak dapat membuat persediaan mencukupi dari segala aspek. – KOSMO! ONLINE