fbpx

Pekerja pasar raya maut rempuh kereta buat pusingan U

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hanif Syazwan maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Alor Setar-Sungai Petani berhampiran Masjid Padang Lumat, Batu 16, dekat Yan pada petang tadi.

YAN – Seorang pekerja sebuah pasar raya maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan ‘U’ di Jalan Alor Setar-Sungai Petani berhampiran Masjid Padang Lumat, Batu 16, di sini petang tadi.

Dalam kejadian pada pukul 3.15 petang itu, mangsa, Muhammad Hanif Syazwan Mohd. Karim, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian berlaku semasa mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Guar Cempedak ke Alor Setar.

“Sebaik menghampiri lokasi kejadian sebuah kereta jenis Naza Citra yang diparkir di kiri bahu jalan tiba-tiba keluar dan membuat pusingan ‘U’ untuk menghala ke Guar Chempedak.

“Disebabkan jarak terlalu dekat mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh pintu hadapan sebelah kanan kereta dipandu seorang lelaki berumur 75 tahun itu,” katanya.

Kata Shahnaz, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terpelanting ke tengah jalan manakala kereta berkenaan terbabas dan masuk ke dalam parit.

“Kesan kemalangan itu menyebabkan motosikal mangsa remuk teruk di bahagian hadapan manakala kereta itu turut alami kerosakan di bahagian pintu hadapan selain lampu hadapan dan signalnya pecah.

“Mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta yang bekerja sendiri itu alami kecederaan kecil di tangan dan badannya.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk tindakan lanjut dan pemandu kereta itu diberikan rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI