PETALING JAYA: “Saya bahagia, tiada masalah. Cuma, ada masalah dengan diri sendiri. Otak saya bising sangat hari ini. Paling teruk yang saya hadapi.”
Demikian luahan penyanyi dan penyanyi Janna Nick yang menangis teresak-esak menerusi siaran langsung di TikTok berikutan tidak tahan mendengar suara-suara memintanya melakukan pelbagai perkara termasuk membunuh.
Janna berkata, serangan yang dialaminya baru-baru ini adalah paling teruk sejak disahkan mengalami gangguan bipolar dua tahun lalu dan ia berkemungkinan disebabkan perubahan pola tidur.
“Saya jalani penggambaran seperti biasa tapi balik lewat setiap hari sekitar pukul 7 atau 8 pagi. Ada hari saya tidur pukul 2 petang, jadi waktu tidur saya bercelaru. Mungkin otak saya tak boleh terima.
“Nak tidur enam jam tapi otak saya berperang. Dia (otak) paksa saya saya fikir benda-benda kritikal. Buat saya fikir macam mana nak bunuh orang, sorok mayat, lari daripada polis. Saya penat dan tak suka.
“Apabila bangun, saya fikir macam mana solar sistem berfungsi, macam mana elektrik berfungsi. Suara-suara itu sangat bising, cakap macam-macam sampai saya rasa benci dengan otak saya,” katanya.
Luah isteri kepada aktor Dini Schatzmann itu, dia terlampau penat berhadapan situasi tersebut, namun zikir yang dialunkan tenggelam dalam suara-suara di telinganya.
“Saya bukan hari-hari begini tapi bila datang hari yang teruk, istighfar dan zikir tak dapat melawan suara-suara yang tengah bercakap dalam otak.
“Bayangkan nak berzikir, 10 suara dalam kepala pun nak bercakap juga, lagi kuat sampai nak hentak kepala di dinding.
“Penyakit bipolar yang saya alami ini sangat teruk. Ubat yang saya kena makan tiada kesan dan tak sesuai dengan kerja saya,” luahnya lagi sambil menangis.
Begitupun, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 28, itu mengakui berasa lega selepas meluahkan segala yang bersarang di hati kepada pengikut laman sosialnya.
Malah, dia menitipkan pesanan kepada semua pihak jangan pandang ringan isu kesihatan mental.
Terdahulu, sekitar 2021 Janna mendedahkan mengalami masalah gangguan bipolar (bipolar disorder), selain mengaku pernah cuba membunuh diri ketika berusia 14 dan 15 tahun.
Bagaimanapun, dengan bantuan pakar dia mula mengambil ubat anti kemurungan serta menjalani gaya hidup sihat bagi meminimumkan risiko serangan. – KOSMO! ONLINE