fbpx

Muhyiddin teruskan saman Anwar, isu hutang peneroka Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin akan meneruskan tindakan saman terhadap Anwar berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan tindakan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Beliau berkata, Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepadanya dalam tempoh 24 jam seperti yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam.

“Maka saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya,” katanya dalam kenyataan, lewat malam tadi.

Berhubung kenyataan Anwar semalam mengenai pelupusan hutang peneroka Felda, Muhyiddin berkata, ia dokumen berkenaan sukuk.

“Anwar membuat kenyataan akhbar berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda. Dia kemukakan dokumen untuk membuktikan dia bercakap benar.

“Tetapi dokumen yang dia kemukakan bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda. Dokumen itu berkenaan sukuk.

“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk, bukan pelupusan hutang peneroka Felda. Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar,” katanya.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, siaran akhbar Kementerian Kewangan semalam juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun beliau selesaikan pada tahun 2021.

“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan.

“Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.

“Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Anwar, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Anwar mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang telah ditandatangani beliau.

Dokumen tersebut dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau melibatkan FSRA 1 berserta Arahan Pembayaran Tahun Kewangan 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI