PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai bersetuju dengan pandangan seorang pengguna Facebook, Hanafi Azizi yang menyifatkan majikan Melayu adalah yang paling mudah memberi cuti kepada pekerjanya serta sering bertolak ansur dalam apa jua situasi.
Menurut Hanafi, dia sudah berpengalaman bekerja dengan majikan yang mempunyai latar belakang berbeza termasuklah berlainan kaum.
“Saya dah kerja dengan tiga majikan berbeza kaum. Yang saya tulis tak semestinya saya buat, tetapi berlaku dalam lingkungan kerja saya.
“Majikan Melayu. Kelebihan boleh toleransi datang lambat. Sangat faham keadaan pekerja. Nak cuti biasanya mudah dapat, asalkan ada sebab kukuh.
“Kenal ahli keluarga pekerja, kalau nak solat, masa dan tempat tak ada masalah dan majikan suka belanja minum dan makan. Bonus walaupun tak banyak, tapi biasanya ada untuk hari raya,” katanya dalam satu hantaran hari ini.
Tambah Hanafi, di dalam kelebihan yang dimiliki oleh majikan Melayu, namun mereka ini juga dilihat mudah ditipu pekerja sendiri disebabkan sifat terlalu berlembut dan gemar memberi peluang kedua.
“Terlalu berlembut, macam takut dengan pekerja. Jarang tekan pekerja melainkan terpaksa. Agaknya risau kena khianat atau dendam. Jarang campur urusan secara aktif kalau ada isu bertengkar sesama pekerja, majikan suka balik rumah tinggal pekerja,” dakwanya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan perkongsian individu tersebut.
“Saya setuju, bila saya kerja dengan majikan Melayu, ada kenduri kahwin atau anak sakit mereka izinkan cuti, kalau majikan lain kena ada alasan sekukuh batu bata baru dipertimbangkan, sebab bagi mereka operasi syarikat nombor satu,” kongsi Azmin Nor.
“Betul lah tu, sebab itu sebagai majikan ada masa boleh berlembut, ada masa kena tegas, takut pekerja sendiri pijak kepala, tapi biasalah orang Melayu penuh dengan lemah lembut, kasih sayang dan tolak ansur. Seronok bekerja dalam suasana pekerja dan majikan ada keserasian dan timbang rasa,” kata Aisyah. – KOSMO! ONLINE