ISKANDAR PUTERI – Juara Liga Super sembilan musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengikat penyerang import kelahiran Brazil, Heberty Fernandes dari kelab Thailand, Bangkok United FC.
Kemasukan pemain baharu itu diumumkan menerusi hantaran terbaharu di Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers sebentar tadi.
Dalam video berdurasi 38 saat itu, kelihatan Fernandes memasuki kawasan stadium menaiki limosen dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards.
Fernandes, 34, yang beraksi cemerlang bersama kelab Thailand itu mencuri tumpuan JDT untuk mendapatkan khidmatnya bagi memperkuatkan jentera serangan Harimau Selatan itu.
Pemain kelahiran Brazil itu menyertai JDT bagi mengisi kouta ASEAN setelah dia memiliki kerakyatan Timor Leste.
Fernandes memulakan karier seniornya bersama kelab Liga 2 Jepun, Thespa Kusatsu pada 2012 sebelum berhijrah menyertai kelab Liga 1 Jepun, Cerezo Osaka pada tahun sama dan berpindah ke Vegalta Sendai pada 2013.
Dia kemudiannya berpindah ke Liga Thailand pada 2014 dengan menyertai beberapa kelab berbeza antaranya Ratchaburi Mitr Phol, Muangthong United dan Bangkok United.
Pemain kelahiran Brazil itu juga pernah berhijrah ke Liga Perdana Saudi dengan menyertai Al-Shabab pada musim 2016/17, meledak empat gol dalam 10 penampilan.
Bersama kelab terakhirnya iaitu Bangkok United, Fernandes telah menjaringkan 35 gol dalam 70 penampilan dari 2020 sehingga musim ini.
Dia pernah membantu Muangthong bergelar juara Piala Liga Thai dan Mekong Cup Championship pada 2017 selain membantu Bangkok United berada di posisi kedua Liga 1 Thai musim ini.
Fernandes yang bakal menyarung jersi bernombor 37 itu dilihat mampu membentuk gandingan berbisa bersama rakan senegaranya, Bergson Da Silva dan Diogo Luis Santo di JDT. – KOSMO! ONLINE