JURULATIH berpengalaman tempatan, Mat Zan Mat Aris percaya ‘acuan’ pengendali import, Bojan Hodak boleh memberi dimensi berbeza menjelang aksi final Piala FA bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok.
Menurut Mat Zan, pengalaman luas yang ada pada Hodak boleh memastikan pasukan kekal kompetitif sepanjang 90 minit perlawanan selain menjadikan memori final Piala Malaysia 2021 sebagai pemangkin semangat.
“Hodak sudah lama dengan pasukan KL City dan dia memiliki pengalaman luas dalam kancah Liga Malaysia. Dia telah membantu pasukan mara ke final Piala Malaysia dengan menewaskan JDT.
“Saya percaya situasi tersebut akan memberikan kekuatan tambahan buat KL City. Malah, Hodak juga cukup arif dengan taktikal selain kualiti pasukan tidak kira lokal atau import juga agak seimbang,” katanya.
Sejak dikendalikan oleh Hodak, KL City berjaya mara ke pentas final kejohanan bola sepak buat kali ketiga berturut-turut selepas Piala Malaysia edisi 2021 dan Piala AFC tahun lalu.
Skuad Warga Kota memburu trofi Piala FA buat kali pertama selepas edisi 1999, manakala JDT pula gah bergelar juara bertahan musim lepas.
Mat Zan yang menjadi orang kuat selaku ketua jurulatih ketika KL City menang Piala FA pada 24 tahun lalu yang menewaskan Terengganu berharap penyokong The City Boys dapat menggemakan suasana di gelanggang keramat JDT nanti.
“Meskipun baru-baru ini KL City tewas 1-6 kepada JDT dalam saingan Liga Super, ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur. Saya pasti Hodak sudah ada strategi terbaik walaupun menentang JDT bukan tugas mudah.
“Saya harap penyokong KL dapat beri sorakan dan datang beramai-ramai ke stadium. Siapa sahaja yang diletakkan dalam kesebelasan utama perlu bermain sepenuh hati jika mahu melakar keputusan positif nanti,” katanya.