ISKANDAR PUTERI – Menjadi tuan rumah bagi aksi Final Piala FA nyata memberi kelebihan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), namun mereka perlu berhati-hati dengan muslihat Bojan Hodak, pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City).
Sedar dengan apa yang akan terjadi pada Sabtu ini, Hodak pastinya sedang merencana perancangan ampuh bagi menambat jentera serangan Harimau Selatan yang buas memburu gol pembukaan sebaik minit pertama.
Menurut bekas pemain Johor FA, Hasnizam Uzir, Hojak adalah seorang jurulatih berpengalaman dan bijak mengatur strategi membolehkan pemainnya menyerap tekanan walaupun diasak teruk pihak lawan.
“Hodak mempunyai trek rekod yang baik mengawal emosi pemain agar tidak cepat ‘koyak’ dan kekal dengan formasi defensif yang diterapkan. Mereka tidak akan bermain open play, sebaliknya menunggu masa yang tepat bagi melakukan serangan balas.
“Bagaimanapun, taktikal mungkin tidak begitu efisyen kerana jentera serangan tidak setajam dahulu dan prestasi semasa pasukan KL City yang terumbang-ambing juga membuktikan hal itu.
“Bagi mengelakkan JDT berada dalam keadaan sukar dan dikejutkan lawan, mereka tidak boleh terlalu gopoh untuk memburu gol awal seperti kebiasaan kerana takut terjerat dengan taktikal rahsia Hodak,” katanya.
Hasnizam memberitahu, ketajaman senjata import Harimau Selatan yang dibarisi Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo serta bintang muda, Arif Aiman Hanapi menjadi penentu perlawanan final nanti.
Katanya, kelibat pemain-pemain ini jarang menghampakan ribuan peminat JDT ketika beraksi di gelanggang keramat yang menyaksikan banyak pasukan tersungkur dengan jaringan yang besar.
“Mereka ini adalah watak penting Yang akan meleraikan benteng pertahanan KL City yang dipercayai akan berkampung bagi memastikan gawang mereka tidak mudah dibolosi.
“Mereka (KL City) pernah melakukan kejutan sebelum ini ketika menewaskan JDT pada final Piala Malaysia 2021, saya rasa Esteban Solari sudah bersedia untuk memastikan perkara itu berulang kembali,” ujarnya.
Tambahnya, faktor padang dan atmosfera di SSI juga menjadi faktor pemangkin yang memberi kelebihan buat JDT beraksi dengan kekuatan penuh dan mempamerkan permainan berintensiti tinggi.