KOTA BHARU – Seorang buruh kampung hanya mampu berserah apabila tidak dapat menyediakan RM2,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan buat isterinya yang terlantar hingga terpaksa mencatu susu khas agar boleh digunakan lebih lama.
Abdul Rahman Yaakob, 61, berkata, susu yang berharga RM110 setin itu sepatutnya digunakan dalam tempoh tiga hari, namun dia terpaksa mencatunya supaya dapat bertahan sehingga seminggu ekoran kekangan kewangan.
Katanya, isterinya terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri selepas disahkan menghidap penyakit saraf, darah tinggi dan gout sejak 10 tahun lalu.
“Dia tak boleh bergerak kerana kedua-dua tangan dan kakinya membengkok sejak beberapa tahun lalu.
“Sejak kebelakangan ini, saya tidak dapat pergi bekerja apabila perlu mengutamakan tugas untuk menguruskan isteri dengan memberinya makan dan susu,” katanya ketika ditemui di Kampung Muring, Peringat di sini baru-baru ini.
Menurut Abdul Rahman, dia hanya bekerja kampung dengan menternak haiwan, tukang rumah dan menebang pokok yang memberinya pendapatan RM50 sehari.
Tambahnya, isterinya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 tetapi ia masih tak mencukupi untuk menampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan.
“Oleh sebab itu saya perlu membeli kelengkapan itu. Kadangkala, saya tiada pendapatan harian apabila tidak dapat keluar bekerja kerana perlu menjaga isteri di rumah,” katanya.
Ujar Abdul Rahman, isterinya sering mengadu sakit dan dia terpaksa memanggil doktor klinik swasta untuk memberikan suntikan bagi menahan sakit.
Katanya, dia memerlukan RM2,000 sebulan untuk memenuhi segala kelengkapan dan ubat-ubatan isterinya.
“Anak-anak banyak membantu bagi memudahkan urusan ibu mereka jika dia tidak dapat pulang ke rumah untuk menjaga isteri apabila keluar bekerja,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Abdul Rahman di talian 011-3011 9022 atau terus ke akaun CIMB Abdul Rahman di nombor 7056492864.