fbpx

Bukan serang wanita tetapi warga Bangladesh bergaduh sama sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar pergaduhan sekumpulan warga asing yang berlaku di sebuah Poliklinik di Taman Prima Saujana, kajang, kelmarin.

KAJANG – Perebutan dua ejen warga Bangladesh menghantar pesakit ke klinik bertukar menjadi pergaduhan sehingga mengeluarkan beberapa batang kayu hoki dalam kejadian tular di sebuah Poliklinik di Taman Prima Saujana, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang doktor lelaki berhubung kejadian berkenaan, semalam.

Katanya, lelaki berusia 35 tahun memaklumkan kejadian membabitkan sekumpulan warga asing itu berlaku di sebuah Poliklinik miliknya di Taman Prima Saujana, di sini, kelmarin.

“Sekitar pukul 6 petang, dua kumpulan warga Bangladesh hadir ke Poliklinik miliknya untuk pemeriksaan kesihatan namun turut didatangi dua ejen berlainan yang juga warga sama.

“Semasa sekumpulan individu itu berada di hadapan premis, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mula mengeluarkan beberapa batang kayu hoki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd. Zaid, keadaan menjadi tegang selepas salah seorang suspek bertindak masuk ke dalam Poliklinik menyebabkan pekerja mangsa menjerit dan menghalau kesemua warga asing itu.

Kata beliau, punca kejadian adalah perebutan pelanggan warga asing untuk pemeriksaan kesihatan dan siasatan mendapati tiada kejadian warga asing serang wanita di klinik seperti yang tular di media sosial.

“Bertindak atas maklumat, tiga lelaki warga Bangladesh ditahan sepasukan polis di sekitar Sentul dan Setapak, Kuala Lumpur pada pukul 1.15 pagi tadi.

“Kesemua lelaki berusia 24 hingga 32 tahun itu mengaku terlibat dan dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin hadapan,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah Mohd Zaid, semua pihak diminta tidak terpengaruh dan jangan menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam kerana jika didapati bersalah, tindakan undang-undang boleh dikenakan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI