fbpx

Bukan cerewet cuma mudahkan kerja – Hafiz Hamidun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZ HAMIDUN beranggapan lagu-lagu kerohanian tetap relevan biarpun harus bersaing dengan trend semasa.

BAGAIKAN doa khusyuk yang mendekatkan pendengar kepada hubungannya dengan Tuhan, begitulah getaran menyentuh hati single baharu penyanyi dan penulis lagu Hafiz Hamidun bertajuk Kembali Pada-Mu.

Lebih membuai perasaan, Kembali Pada-Mu turut mendapat sentuhan ‘emas’ daripada komposer dan penulis lirik lagu-lagu puitis, Fedtri Yahya yang pastinya bakal meninggalkan impak meruntun jiwa buat pendengar.

Kembali Pada-Mu membawa ungkapan pengabdian dan penebusan yang mendalam sekali gus menyerlahkan kelunakan vokal Hafiz dalam menjalin bait-bait lirik memohon keampunan Tuhan.

Liriknya yang ‘pedih’ menggambarkan kerinduan untuk membimbing seseorang yang telah sesat untuk kembali ke jalan yang benar.

Hafiz juga selesa kembali bekerjasama dengan Fedtri Yahya selepas pernah beberapa kali bergandingan sebelum ini.

Menepis dakwaan mengatakan dirinya cerewet dalam menjalinkan kerjasama dengan penulis lirik lain, Hafiz hanya mahu memudahkan kerja dalam membentuk paduan jiwa dengan seseorang yang sudah faham cara kerjanya.

“Saya telah bekerjasama beberapa kali dengan Fedtri dan terbaharu menerusi single Kembali Pada-Mu. Sebagai penyanyi dan juga komposer, kita perlu tahu siapa gandingan yang serasi dengan kita.

“Bukan sebab saya tidak percaya dengan sentuhan lirik orang lain. Cuma untuk menjalin keserasian itu memakan masa.

HAFIZ berharap Kembali Pada-Mu dapat mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi dan komposer lagu-lagu kerohanian.

“Saya bukannya cerewet, tetapi cuma untuk memudahkan kerja. Apabila Fedtri bagi lirik, saya tidak menerimanya ‘bulat-bulat’. Saya akan tukar sedikit mengikut kesesuaian,” katanya.

Turut mendapat sentuhan muzik daripada Noel Ahad, Kembali Pada-Mu dilapisi susunan irama boleh dianggap sempurna.

Melodi yang penuh perasaan sebati dengan julat vokal Hafiz berupaya mencipta simfoni ke jiwa pendengar.

Masih mengekalkan konsep lagu ketuhanan, persoalan timbul sama ada lagu dengan mesej positif itu masih mampu mendapat tempat di hati pendengar hari ini?

Hafiz sendiri enggan menjadi ‘hakim’ menentukan selera pendengar hari. Bagaimanapun, sebagai seorang penyanyi dan komposer, dia berpendapat lagu-lagu kerohanian dan ketuhanan masih relevan dan dapat diterima pendengar, walaupun terpaksa bersaing dengan trend semasa.

“Pendengar hari ini bukan semata-mata mendengar muzik melalui radio atau televisyen. Muzik sekarang boleh dinikmati di mana-mana sahaja.

“Saya berpendapat pendengar di Malaysia perlu mempelbagaikan selera muzik mereka. Lagu berunsur ketuhanan juga tidak mustahil masih relevan hari ini.

“Sebagai contoh, saya pernah menulis sebuah lagu untuk penyanyi Aiman Sidek pada tahun 2009 berjudul Cinta Terakhir. Selepas 14 tahun, lagu itu menjadi tular hari ini,” katanya.

Meletakkan harapan tinggi, penyanyi berusia 39 tahun itu berharap dengan lahirnya Kembali Pada-Mu dapat terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penggiat muzik kerohanian dalam industri muzik tempatan.

“Kembali Pada-Mu akan dilancarkan di semua platform penstriman digital termasuk muzik video lirik yang diilhamkan oleh gaya sinematografi viral, Wes Anderson. Saya berharap lagu ini mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI