SHAH ALAM – Kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 1,000 stesen pengecas kereta elektrik (EV) bagi memastikan kemudahan itu dapat menampung keperluan kenderaan tersebut pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, berkata, penubuhan syarikat pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika Syarikat, Tesla Malaysia Sdn. Bhd. (Tesla) di Cyberjaya, sudah pasti meningkatkan penggunaan kereta EV di seluruh negara khususnya di negeri ini.
“Setakat ini kita memiliki 102 stesen pengecas EV di seluruh negeri. Ini bermakna kita ada kira-kira 900 stesen untuk dibina tahun ini.
“Stesen pengecas EV tersebut terdapat di kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT). Paling banyak 29 stesen caj semula EV di Majlis Perbandaran Sepang (MPS),”katanya selepas majlis penyerahan geran kecil alam sekitar dan teknologi hijau Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Tesla mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia.
Loy Sian berkata, stesen pengecas EV tersebut perlu diwujudkan bagi menggalakkan orang ramai membeli kenderaan tersebut.
“Tesla juga akan membina stesen pengecas EV mereka sendiri dan kita sebagai pihak berkuasa komited menyokong pembinaan stesen pengecas di negeri ini dari masa ke semasa di bandar utama seperti Subang, Shah Alam, Petaling Jaya dan lain-lain.
“Namun untuk stesen pengecas EV di bawah pentadbiran kerajaan negeri, kita masih dalam proses untuk menggunakan satu aplikasi bayaran sahaja untuk orang ramai membuat bayaran menggunakan khidmat di stesen pengecas terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE