KUALA LUMPUR – Pemilik pasukan bola sepak, Kelantan FC, Norizam Tukiman mengambil tindakan saman terhadap pihak yang memfitnahnya berhubung dakwaan ‘songlap’ wang pelaburan tujuh individu mencecah sehingga RM900,000.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil susulan satu sidang akhbar yang diadakan sekumpulan individu yang mendakwa diperdayakan oleh seorang usahawan dalam pelaburan saham, semalam.
Tambah Norizam, sidang akhbar yang diadakan tersebut dipenuhi fakta yang tidak berasas dan terdapat beberapa fakta yang diselindung termasuk juga fitnah yang disengajakan.
“Sehingga kini, Unclezam Holdings Sdn Bhd (UZHB), masih lagi pemegang saham sebanyak 70 peratus dalam Inayu Global Sdn Bhd (IGSB). Sehubungan itu, kenyataan dikeluarkan semalam adalah tidak wajar dan tidak munasabah.
“Modal pinjaman dari pihak syarikat UZHB sebanyak RM1.6 juta masih ada dan perlu dibayar semula oleh pihak IGSB,” katanya dalam satu sidang akhbar di Hotel Wira Zamburger, di sini, hari ini.
Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, berdasarkan rekod UZHB, IGSB mempunyai hutang sebesar jumlah yang dinyatakan diatas dan hutang tersebut perlu dibayar mengikut terma perjanjian.
Katanya, satu mesyuarat khas juga telah dibuat pada 25 Ogos 2022 diantara kedua belah pihak dimana pihak IGSB bersetuju untuk membayar balik semua dana pelaburan berjumlah RM2.1 juta kembali selewatya pada Februari 2023.
Mengulas lanjut mengenai wang pelaburan yang didakwa ditipu, Zamsaham berkata, setiap pelabur diberikan informasi dan penerangan sebelum mereka membuat sebarang transaksi kepada UZHB.
“Kami telah memaklumkan risiko pelaburan dan menyatakan bahawa pelaburan ini adalah untuk jangka masa panjang. Mereka juga diberikan sijil saham, nama tersenarai di dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan jumlah unit yang telah dipersetujui di dalam perjanjian.
“Para pelabur juga akan mendapat informasi syarikat melalui kumpulan WhatsApp dan juga boleh mengikuti perkembangan syarikat melalui Facebook Zamsaham.
Tambah pemilik The Red Warrior itu, pihaknya turut terkilan dengan dakwaan tiada Mesyurarat Agung Tahunan (AGM) daripada individu yang berada di sana semalam.
“Dakwaan tiada langsung itu tidak benar. setiap tahun kita adakan AGM seperti pada tahun 2019, 2020 dan 2021. Bagi tahun 2022, terdapat kelewatan yang disebabkan oleh penukaran ‘Tahun Kewangan Berakhir’ iaitu dari bulan Mei kepada Disember,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan tujuh individu dan sebuah syarikat didakwa mengalami kerugian mencecah RM900,000 selepas mendakwa diperdayakan oleh seorang pemilik sebuah kelab bola sepak di Pantai Timur dalam pelaburan saham.
Namun sehingga kini, kebanyakan mangsa bukan sahaja tidak menerima perkembangan dan pulangan terkini duit pelaburan, namun turut mendakwa tiada ketelusan dalam laporan kewangan beraudit. -KOSMO! ONLINE.