SEBERANG PERAI – Seorang peniaga kedai makan menanggung kerugian sebanyak RM512,244 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan keuntungan hampir setengah juta.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, siasatan mendapati mangsa yang juga wanita berusia 54 tahun telah melihat iklan berkaitan pelaburan saham di akaun Facebook pada 22 Mei lalu.
“Mangsa kemudiannya telah berhubung dengan ejen pelaburan terbabit menerusi aplikasi WhatsApp dan diberi penerangan berkaitan pelaburan saham yang ditawarkan.
“Mangsa kemudiannya bersetuju dan membuat pendaftaran melalui laman web yang diberikan,” katanya kepada pemberita di sini, petang ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, mangsa seterusnya melalukan sebanyak 20 transaksi pindahan wang bermula ke lapan akaun bank syarikat daripada 20 Jun sehingga 5 Julai lalu.
“Dakwa mangsa, pelaburan yang disertainya itu telah menjanjikan keuntungan lebih kurang RM400,000 melalui transaksi yang dipaparkan dalam akaun pelaburan milik mangsa. Walau bagaimanapun, wang keuntungan berserta modal yang telah dilaburkan tidak dapat dikeluarkan.
“Pengadu kemudiannya membuat laporan polis semalam selepas ejen pelaburan telah menghilangkan diri manakala platform pelaburan terbabit juga gagal diakses,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE