SHAH ALAM – Selepas suaminya memfailkan nusyuz, pelakon Diana Danielle turut melakukan perkara sama apabila memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Farid Kamil.
Peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata tuntutan nusyuz tersebut difailkan dalam tuntutan balas nusyuz yang difailkan Farid terhadap Diana sebelum ini.
“Kita sudah memfailkan tuntutan pembelaan pada masa sama pihak kita juga (Diana) turut memfailkan tuntutan balas dan dalam tuntutan balas pihak kami turut memfailkan nusyuz terhadap Farid hari ini,” kata peguam itu ketika ditemui selepas sebutan kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari di sini hari ini.
Sementara itu ketika ditanya antara sebab Diana memfailkan nusyuz terhadap suaminya itu, peguam syarie itu memaklumkan antaranya adalah melibatkan tanggungjawab sebagai suami bertanggungjawab namun terma-terma secara terperinci tidak boleh didedahkan.
Untuk info, seorang suami boleh disabitkan dengan nusyuz sekiranya mengabaikan nafkah zahir, batin, menyuruh isteri melakukan perkara yang bertentangan hukum syarak, memukul isteri dan tidak berlaku adil (bagi yang berpoligami).
Bagaimanapun, penalti atau hukuman yang boleh dikenakan kepada suami yang nusyuz adalah bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.
Terdahulu Hakim Syarie Shukran Yusof menetapkan 23 Ogos ini, bagi sebutan semula kes nusyuz yang difailkan Farid terhadap Diana dengan pihak-pihak perlu memfailkan tuntutan balas dan jawapan kepada pembelaan masing-masing.
Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, peguam syarie yang mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya positif Covid-19.
“Plaintif tidak dapat hadir kerana disahkan Covid-19 dan status kesihatannya telah pun didaftarkan dibawah MySejahtera. Namun ketidakhadiran plaintif (Farid) tidak menganggu prosiding hari ini,” kata Fakhrul.
Mendengar perkara itu, peguam syarie Azmi mengesahkan menerima surat mengenai Farid yang terkena Covid-19 hari ini.
Sebelum ini, Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, menegaskan tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap isterinya Diana Danielle bukan berniat untuk memburukkan lagi situasi tegang yang melanda rumah tangganya.
Farid sebaliknya berkata, tuntutan tersebut dilakukan bagi menegakkan haknya sebagai seorang suami mengikut hukum Islam.- KOSMO! ONLINE