SHAH ALAM – “Harapan saya, semoga semuanya berpihak kepada kebenaran.”
Demikian respons ringkas pelakon, Diana Danielle berhubung tuntutan nusyuz yang difailkan suaminya, aktor Farid Kamil terhadapnya pada 6 April lalu.
Menurut Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, selaku defendan memberitahu hanya berharap kebenaran akan terbukti sepanjang perjalanan kes tersebut.
Dalam pada itu, dia yang hadir dengan baju kurung moden berwarna merah jambu dan berselendang bercorak bung juga sempat memberitahu akan melancarkan single baharu pada bulan depan.
“Lagu saya akan keluar pada bulan Ogos nanti.
“Alhamdulillah hari ini cantik sebab nak pergi ke sebuah acara lain nanti,” ujarnya kepada Kosmo! Online ketika tiba bagi sebutan nusyuz kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari sini, hari ini.
Farid selaku plaintif bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah susulab dijangkiti virus Covid-19 seperti yang dimaklumkan dalam Instagramnya hari ini.
Terdahulu, pada 30 Mei lalu, peguam syarie mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu pihaknya telah memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Diana berikutan aktor tidak dibenarkan pulang ke rumah kelamin dan dakwaan tidak boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
Sebelum ini, pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari itu sebaliknya berkata, tuntutan tersebut dilakukan bagi menegakkan haknya sebagai seorang suami mengikut hukum Islam.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh prosiding hakam kerabat bagi pasangan terbabit.
Mahkamah juga memutuskan laporan JKP pasangan tersebut menemui jalan buntu susulan berlaku syiqaq (perbalahan) berpanjangan, sementara Farid kekal enggan melafazkan talak kerana percaya rumah tangganya masih boleh diselamatkan.
Pada 28 Mac lalu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shukran Yusof, menasihatkan Farid dan Diana berdamai bagi mengislahkan atau memperbaiki keadaan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai. – KOSMO! ONLINE