KUALA PILAH – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi berhubung kes seorang guru besar yang didakwa memukul seorang murid sehingga mengalami kecederaan di Segamat, Johor dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kes berkenaan berada dalam ‘radar’ kementeriannya dan pihaknya akan memantau dengan ketat hasil siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Malah menurut beliau, dalam masa yang sama, pihaknya akan melakukan intervensi-intervensi khususnya sokongan psikososial kepada murid dan juga guru yang terlibat.
“Kita kena hormat proses siasatan itu dan semua siasatan ini akan dimaklumkan kembali kepada KPM. Jadi, kita tidak akan berkompromi sekiranya benar dakwaan terbabit.
“Saya ingin bagi jaminan siasatan kita telus dan mengikut prosedur operasi standard aduan yang telah pun ditetapkan di peringkat KPM,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Karnival Mini Pendidikan MADANI Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang murid tahun lima sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di Jementah, didakwa dirotan oleh guru besar sehingga mengakibatkan kecederaan pada badan serta mukanya.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dirotan oleh guru besar tersebut kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran.
Jelas Fadhlina lagi, sebarang tindakan ke atas guru besar berkenaan adalah bergantung kepada hasil siasatan dan buat masa ini, guru besar tersebut perlu memberikan kerjasama kepada siasatan yang dibuat.-KOSMO! ONLINE