ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terus didesak untuk menjawab beberapa persoalan berkaitan unsur nadir bumi (REE) di Sik, dekat ini.
Ini kerana beliau selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah didakwa sememangnya mengetahui kawasan dimiliki mereka merupakan lokasi berlaku kecurian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mendedahkan perkara itu kerana Muhammad Sanusi sering memberi jawapan sama iaitu MBI Kedah tidak terlibat dan tiada kena mengena dengan kecurian itu termasuk ketika memberi jawapan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
“Dalam DUN pun Sanusi tepis begitu saja (penglibatan MBI). Malam ini saya nak sebut MBI tahu kompartmen miliknya adalah tempat berlaku kecurian besar-besaran nadir bumi yang dalam pengetahuan dia. Sekurang-kurangnya ada dua fasa tangkapan dan yang pertama melibatkan lebih 50 orang awal tahun ini.
“Saya tak mahu syarah lebih kerana masih lagi kumpul bukti tetapi yang ditangkap itu bukan dituduh mencuri (REE), sebaliknya hanya dikompaun RM5,000 kerana ceroboh hutan simpan. Ada orang tolong bayar pula malah ketika ditangkap ada orang jamin,” katanya ketika berucap pada Jelajah Madani DUN Suka Menanti di sini, malam semalam.
Saifuddin turut bertanya kepada rakyat Kedah sama ada mereka tahu surat ditulis Muhammad Sanusi kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang meminta agar dibawa masuk 10 jurutera dan 21 pekerja mahir dari China menggunakan pas lawatan ikhtisas.
Namun katanya, surat itu bercanggah dengan satu lagi surat ditulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI Kedah yang menyatakan bahawa 21 orang terbabit merupakan pekerja am. – KOSMO! ONLINE.