BANGKOK, Thailand – Seorang penulis blog makanan di Thailand menyahut cabaran menghabiskan 100 keping daging burger berharga 10,039 baht (RM1,347), lapor laman berita Thaiger.
Syarikat makanan segera popular, Burger King di Thailand memperkenalkan menu dinamakan Real Meat Burger pada Selasa minggu lalu.
Dalam catatan Burger King di Facebook, hidangan itu didatangkan dengan tiga keping daging burger termasuk roti ban berharga 339 baht (RM45).
Pelanggan dibenarkan memesan daging tambahan pada burger mereka, tetapi perlu membayar lebih.
Antaranya ialah menu empat keping daging berharga 439 baht (RM58), lima keping 539 baht (RM72), 10 keping 1,039 baht (RM139) dan 100 keping 10,039 baht (RM1,347).
Cabaran itu disahut ramai pelanggan termasuk pengendali platform promosi popular, Punpromotion yang menghabiskan 12 keping daging burger.
Seorang blogger makanan tempatan dikenali sebagai Believe Me, I already Ate bagaimanapun membawa cabaran itu ke tahap berbeza.
Ketika cuba menghabiskan 100 keping daging, dia meminta bantuan kakitangan restoran untuk memegang makanannya.
“Anda tidak perlu melampau seperti saya. Saya tidak dapat menghabiskannya, tetapi hanya mahu melihat rupanya dan mahu pengikut saya menyaksikannya,” katanya. – Agensi