KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengamalkan birokrasi dan ‘pilih bulu’ dalam perjalanan siasatan sesuatu kes, tegas Ketua Polis Negara.
Tan Sri Razarudin Husain berkata, masyarakat kini menilai keupayaan pasukan dalam membendung jenayah, menyiasat, menangkap dan mendakwa penjenayah.
Kata beliau, turut diperhatikan juga penguatkuasaan undang-undang dalam penyiasatan dan pendakwaan jenayah yang perlu dilaksanakan dengan bijak.
“Kualiti maklumat risikan jenayah menentukan hasil operasi dan seterusnya yang paling utama adalah untuk mendakwa pesalah di mahkamah.
“Justeru, kita harus memperkasakan kredibiliti, kecekapan dan kemahiran pegawai-pegawai bagi memastikan kualiti pencegahan jenayah dan penindasan jenayah di tahap tertinggi,”katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam majlis yang sama, Razarudin berkata, indeks jenayah negara menunjukkan penurunan sebanyak 292 kes atau 1.1 peratus bagi tempoh separuh tahun pertama pada tahun ini.
Kata beliau, sebanyak 25,482 kes dicatatkan sejak 1 Januari hingga 30 Jun lalu, berbanding 25,774 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 16,518 kes atau 64.8 peratus berjaya diselesaikan berbanding sasaran 45 peratus, manakala 56,677 kertas siasatan dibuka dengan 31,014 pertuduhan dicapai dari Januari hingga Jun lalu.
“Kita sudah mengharungi cabaran enam bulan pertama dan kini memasuki enam bulan terakhir sebelum tiba ke penghujung tahun.
“Untuk itu, besarlah harapan saya supaya momentum kecemerlangan PDRM terus dipertingkatkan dengan melakar lebih banyak episod kejayaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.