fbpx

Pas tetap kebal di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu di­lihat boleh menjadi petunjuk ke­pada jangkaan kemena­ngan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Pada PRU15, PN menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan apabila turut berjaya merampas lima kerusi yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) iaitu Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Ketereh dan Machang.

Menjelang PRN tidak lama lagi, banyak cakap-cakap orang yang menjangkakan bahawa PN akan sekali lagi mencipta kejutan apabila dilihat mampu memenangi kesemua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Setiausaha Perhubungan Pas Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat dalam pengumuman­nya baru-baru ini memaklumkan, Pas akan bertanding 39 kerusi DUN di Kelantan, manakala enam lagi kerusi bakal ditandingi oleh oleh calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Enam kerusi Bersatu itu adalah di Kok Lanas, Gual Ipoh (Parlimen Tanah Merah), Paloh dan Nenggiri (Parlimen Gua Musang), Ayer Lanas (Parlimen Jeli) dan satu lagi kerusi DUN di Parlimen Jeli.

PN juga akan menampilkan 50 peratus muka baharu yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang pada PRN kali ini.

Berdasarkan perbualan de­ngan orang awam dan rakan-rakan yang tidak mewakili parti politik di Kota Bharu khususnya, mereka tetap merasakan bahawa Pas akan kekal memerintah di Kelantan.

Seorang peniaga burger, Ahmad Nazri Abas, 45, memaklumkan bahawa, dia tiada pilihan selain Pas dengan memberi alasan bahawa BN sudah berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.

“Sebagai anak jati Kelantan, saya mahu mengubah pentadbiran kerajaan Kelantan, tetapi tiada parti lain yang boleh selain Pas terutamanya selepas PRU 15.

“Sejujurnya, BN mempunyai peluang besar untuk mentadbir Kelantan, namun mereka bekerjasama dengan PH pula. Mahu atau tidak, kami akan undi Pas kerana sentimen rakyat Kelantan menolak PH agak kuat,” katanya.

Mengulas mengenai situa­si PRN di Kelantan, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd. Muis berkata, beliau melihat gelombang semasa rakyat tidak kira di dunia nyata atau media sosial lebih memihak kepada PN terutamanya Pas.

Menurutnya, Pas dilihat lebih dominan apabila tiada saingan kuat yang boleh menumbangkan mereka yang mula memerintah Kelantan sejak 33 tahun lalu.

“Pengaruh UMNO di Kelantan tidak begitu kuat lebih-lebih lagi apabila mereka hanya bekerjasama dengan PKR dan Amanah yang sememangnya sukar untuk menang di negeri terbabit.

“Situasi berbeza sekiranya UMNO berada dalam PN. Sudah pasti mereka akan dapat banyak kerusi dalam PRN apabila mampu menumpang dominasi Pas di Kelantan,” katanya.

Mujibu memberitahu, Pas dan PN berkemungkinan besar akan mengekalkan status quo mereka di Kelantan selepas PRN.

Menurutnya, perkara itu dapat dilihat menerusi akar umbi mereka yang kuat di Kelantan dan faktor pengundi luar yang mahu mengekalkan pemerintahan Pas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI