PETALING JAYA – Pelawak, Shuib Sepahtu meluahkan rasa gembira kerana dapat berjumpa dengan Nur Miza Najla Mustaffa, seorang kanak-kanak yang dikatakan mempunyai wajah seiras dengan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
Video pertemuan tersebut diabadikan di laman Instagram bekas ibu mentua Shuib, Siti Fatimah Suberi.
“Alhamdulillah terlalu besar rezeki ini. Akhirnya kami dapat berjumpa lagi, kali ini bersama satu keluarga. Semoga ikatan ini terus berpanjangan,” tulis Siti Fatimah.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang rasa tersentuh hati dan sebak apabila Shuib memanggil Nur Miza sebagai ‘ibu’.
Ada juga yang berkata, Nur Miza mempunyai cara jalan, senyuman dan kelembutan yang sama dengan Siti Sarah.
“Macam manalah Shuib boleh kuat tengok ada orang yang seiras dengan arwah. Aku ni, bila orang tanya pasal arwah isteri aku je mata dah berair,” kata Daniel.
“Arwah Siti Sarah tetap di hati Shuib walaupun dia sudah lama pergi,” kata Amidah.
“Alhamdulillah, terima kasih Allah atas kehadiran insan istimewa ini sebagai pengubat rindu,” kata Sheida.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 173,100 tanda suka dan 1,947 komen. – KOSMO! ONLINE