BATU PAHAT – Gangguan monyet di sekitar Rengit, di sini, terutama di Kampung Berong Laut semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini apabila binatang itu bukan sahaja merosakkan tanaman penduduk, malah berani menggeledah rumah untuk mencari makanan.
Lebih membimbangkan apabila binatang liar itu bertindak ganas dengan menggigit tangan seorang penduduk sehingga terpaksa menerima 10 jahitan ketika mangsa cuba menghalau monyet yang memasuki rumahnya.
Pengerusi Pertubuhan Skuad Peduli Rakyat Batu Pahat, Malik Faishal Ahmad berkata, ancaman monyet-monyet di kampung tersebut membuatkan penduduk berasa tidak selamat.
Menurutnya, tanaman seperti pisang, kelapa dan sayur-sayuran yang diusahakan penduduk banyak dirosakkan oleh monyet sehingga tidak sempat menikmati hasilnya.
“Begitu juga dengan tanaman buah-buahan seperti rambutan, durian dan manggis, semuanya tak sempat dimakan kerana dirosakkan ketika buah masih muda.
“Binatang ini juga sering dilihat berlegar-legar di jalan utama kampung dan boleh mengundang keselamatan kepada penduduk yang menunggang motosikal selain pelajar yang berbasikal ke sekolah,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Menurutnya, isu itu sudah beberapa kali dibangkitkan dengan pelbagai cadangan menangani masalah itu termasuk menyediakan antara lima hingga enam jerat monyet di setiap mukim.
Katanya, pembiakan monyet itu terlalu cepat dan jika dibiarkan boleh mendatangkan ketakutan kepada penduduk di Rengit yang hampir keseluruhan kampung berdepan situasi sama.