MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Anthony Martial dilapor bakal menjadi ‘mangsa’ sekiranya kelab itu berjaya membawa masuk penyerang muda Atalanta, Rasmus Hojlund ke Old Trafford.
Jika perpindahan Hojlund berjaya direalisasikan, The Red Devils bersedia untuk mendengar tawaran bagi melepaskan khidmat bintang dari Perancis itu.
Walaupun Martial berjaya mencuri perhatian Erik Ten Hag pada aksi pramusim 2022/23, namun risikonya yang sering dipalit kecederaan menyebabkan United dikatakan sudah muak dan mahu membenarkannya meninggalkan pasukan itu.
Musim lalu, penyerang berusia 27 tahun itu mengalami beberapa siri kecederaan hingga menyaksikannya hanya mampu merekodkan 11 penampilan dalam kesebelasan utama pada saingan Liga Perdana Inggeris
Martial lebih banyak berehat ekoran isu hamstring, Achilles, kecederaan belakang dan pinggul, namun pencapaiannya tidak terlalu teruk apabila merekodkan sembilan gol serta tiga bantuan jaringan dalam 29 penampilan di semua pertandingan.
Terbaharu, Martial juga tidak menyertai pasukan itu pada aksi persahabatan pramusim menentang Leeds United minggu lalu ekoran sedang berada pada fasa pemulihan kecederaan.
Selain itu, United juga dikatakan hampir pasti memuktamadkan masa depan Mason Greenwood dan berkemungkinan akan dilepaskan sebagai pemain pinjaman ke mana-mana kelab berminat. – AGENSI