SEJAK kebelakangan ini tular di media sosial berkenaan produk makanan yang dikatakan menjadi penyumbang dana kepada aktiviti pembunuhan umat Islam di Palestin. Saya musykil berkenaan hukum memakannya kerana produk tersebut jelas disahkan halal oleh pihak berautoriti. Bagaimana ustaz?
JAWAPAN: Segala pujian hanya untuk Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW. Terima kasih atas persoalan yang diajukan.
Tidak dinafikan, sebilangan produk atau restoran terkemuka yang berasal dari Barat semakin diterima di negara-negara Timur termasuk Malaysia, Arab Saudi, Jordan, dan sebagainya.
Realitinya, ia adalah fenomena globalisasi dan perdagangan yang sukar untuk dielakkan. Hal ini kerana mereka mempunyai jaringan perniagaan dan modal yang besar untuk mengembangkan perniagaan sehingga berjaya menapak di negara-negara Asia.
Tidak dinafikan, kebanyakan umat Islam keliru dan musykil dengan produk atau syarikat yang dikatakan menyumbang dana memusnahkan umat Islam di Palestin.
Namun dalam masa yang sama, disahkan halal oleh pihak autoriti.
Dua elemen penting yang seharusnya diberi perhatian, produk makanan yang disahkan halal dan hasil keuntungan yang digunakan oleh syarikat untuk tujuan kepentingan mereka adalah dua isu berbeza.
Misalnya, syarikat A menaja program yang ada unsur haram, namun tidak semestinya produk syarikat A yang halal bertukar menjadi haram.
Sekiranya benar syarikat tersebut secara jelas menganjurkan aktiviti yang bercanggah dengan Islam dengan menggunakan hasil daripada produk halal, maka ia perlu dipertimbangkan sewajarnya oleh pihak berautoriti.
Ini melibatkan sensitiviti syarikat terhadap aktiviti yang bertentangan dengan prinsip halal dan haram.
Sekiranya hal itu tidak benar, maka kita tidak boleh menghukum berdasarkan isu global.
Sebagai contoh, ada produk tertentu disahkan halal di Malaysia dan sebahagian besar negara di Asia Tenggara. Namun, tidak mustahil produk yang sama berbeza status di rantau lain seperti Afrika dan Eropah.
Jika sudah jelas produk tersebut halal, maka tidak perlu memperbanyakkan pertikaian yang akhirnya memberi kemudaratan kepada manusia.