KAPTEN skuad Kuala Lumpur City (KL City), Paulo Josue menyeru kepada rakan-rakan sepasukan untuk segera melupakan kemelut prestasi dan fokus sepenuhnya pada aksi final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu ini.
Sebagai rekod, skuad Warga Kota mempamerkan aksi tidak konsisten dalam saingan Liga Super apabila gagal meraih sebarang kemenangan sejak empat perlawanan lepas dan kali terakhir meraih tiga mata penuh ketika menewaskan Sri Pahang, 4 Jun lalu.
Kata Josue, prestasi pasukan dalam kancah liga bukanlah perkara besar menjelang aksi final kerana perlawanan bertemu Harimau Selatan nanti adalah berbeza dan apa sahaja boleh berlaku.
“Kita telah mengharungi perlawanan yang sukar pada beberapa perlawanan lepas dan keciciran banyak mata khususnya ketika bertemu Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) baru-baru ini.
“Namun, saya tidak terlalu risau kerana para pemain sedar perlawanan bertemu JDT adalah aksi berbeza dan ini merupakan pentas final. Kita perlu siap sedia secepat mungkin,” kata pemain naturalisasi Harimau Malaya itu.
Mengulas lanjut, Josue percaya tekanan pasti memuncak buat barisan pemain memandangkan bukan mudah untuk meraih keputusan positif bertemu JDT terutama apabila bertandang ke laman keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim.
“Buat masa ini kita hanya boleh harapkan yang terbaik. Benar bukan tugas mudah untuk meraih keputusan positif di Johor, tetapi saya harap semua pemain dapat berikan seratus peratus nanti,” katanya.
Sejak dikendalikan oleh Bojan Hodak, KL City berjaya mara ke pentas final kejohanan bola sepak buat kali ketiga berturut-turut selepas Piala Malaysia edisi 2021 dan Piala AFC tahun lalu.
Skuad Warga Kota memburu trofi Piala FA buat kali pertama selepas edisi 1999, manakala JDT pula gah bergelar juara bertahan musim lepas.