fbpx

Erry, Dhabitah dinobat Olahragawan dan Olahragawati Masum 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat dinobatkan sebagai Olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2022 hari ini.

PUTRAJAYA – Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat dan atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2022 dalam satu majlis yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

Dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Za’Ba KPT tersebut, Erry dinobatkan sebagai pemenang atas hasil kejayaannya dengan meraih pingat perak sewaktu temasya Sukan Komanwel Birmingham tahun lalu.

Erry yang juga merupakan atlet dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengenepikan atlet karate, Muhammad Arif Afifuddin Ab. Malik dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), atlet lompat tinggi, Mohamad Eizlan Dahalan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Atlet karate, G.Kathis dari Universiti Malaya (UM) dan juga atlet olahraga, Mohamad Amirul Arif Mohd. Azri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Manakala Dhabitah yang kini berada di Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun dinobatkan sebagai Olahragawati Masum 2022 atas keunggulannya dalam acara terjun dengan  meraih dua perak dalam acara 3 meter papan anjal seirama dan individu juga di Sukan Komanwel Birmingham.

Dhabitah layak meraih anugerah itu sekali gus mengetepikan lima lagi calon lain masing-masing dalam acara menembak, taekwondo, silat dan juga memanah.

Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat mengakui gembira selepas dinobatan sebagai Olahragawan Masum 2022.

Erry yang mengakui terkejut dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut berkata, gelaran Olahragawan berkenaan mampu melonjakkan semangatnya untuk terutama memburu kejayaan pada masa hadapan.

“Anugerah ini penting kerana dapat memberi suntikan semangat untuk lebih berjaya di masa hadapan. Selepas ini saya meletak sasaran untuk melakukan lebih baik terutamanya di kejohanan kelayakan Sukan Komanwel 2026.

“Proses kelayakan dijangka bermula tahun depan. Saya tidak menyertai Sukan Olimpik kerana saya berada di tangga ke-16 dunia. Kalau Olimpik (layak) nak kena berada di kedudukan 10 teratas,” kata Erry ketika ditemui di sini hari ini.

Erry menerima anugerah yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM3,000, trofi iringan pemenang dan sijil penghargaan.

Sementara itu, anugerah Bintang Harapan Lelaki dimenangi atlet karate H. Sureeya Sankar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) manakala atlet olahraga, Nor Sarah Adi dari UPM dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita.

Sebanyak 11 anugerah turut disampaikan antaranya atlet terbaik universiti, pasukan terbaik kategori lelaki dan wanita serta jurulatih dan pegawai yang sentiasa berjuang membangunkan industri sukan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI