fbpx

Dokumen dikemukakan PM bukan penghapusan hutang peneroka – Annuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar Musa dan Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, dokumen yang dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Facebooknya hari ini bukan dokumen penghapusan hutang peneroka.

Beliau berkata, sebaliknya dokumen tersebut mengenai terbitan sukuk sekali gus menyifatkan ‘posting’ dibuat Perdana Menteri mengelirukan rakyat.

“Terima kasih PM kerana ‘upload’ dokumen yang dikatakan PM tandatangan sebagai bukti PM yg hapus kira hutang peneroka Felda.

“Tapi saya tengok dokumen itu macam mengenai terbitan sukuk yang diputuskan akhir tahun 2020 dan diterbitkan secara berperingkat.

“Kalau tak silap saya, ini bukan sukuk pertama, tapi mungkin yang ketiga.Yang pasti ini bukan dokumen penghapusan hutang peneroka,” katanya pada hantaran Facebook beliau hari ini.

Annuar berkata, dalam pengetahuanya, Kabinet meluluskan pelan pemulihan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada bulan Oktober 2020 lagi.

“Penghapusan hutang peneroka dilaksana pada tahun 2021. Tindakan lain dalam melaksanakan pelan pemulihan Felda memang memakan masa lebih panjang termasuk sukuk dengan jaminan kerajaan (yang PM tandatangan atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan agaknya).

“Apa pun rakyat jadi keliru dengan ‘posting’ PM. Mungkin PM boleh buat pencerahan lanjut. Dokumen itu dokumen pengeluaran sukuk atau dokumen pelupusan hutang peneroka. Mohon pencerahan,” ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan Anwar mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda yang telah ditandatangani beliau.

Dokumen tersebut dimuat naik menerusi Facebook rasmi Anwar melibatkan FSRA 1 berserta Arahan Pembayaran Tahun Kewangan 2023.

Terdahulu menerusi Majlis Sambutan Maal Hijrah Perpaduan Tanjong Karang di Jalan Sekolah Kampung Raja Musa, Tanjong Karang malam tadi, Anwar menegaskan sedia mengemukakan bukti beliau sudah menandatangani kelulusan pelupusan hutang peneroka Felda pada 27 Jun lalu.

Perdana Menteri dipetik berkata, beliau bersedia menunjukkan bukti tandatangan kelulusan itu dan menuntut Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memohon maaf sekiranya perkara itu benar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI