PETALING JAYA – Model sensasi , Gigi Hadid mengejutkan dunia hiburan apabila ditahan polis selepas didakwa memiliki dadah jenis marijuana ketika bercuti di Pulau Cayman, 10 Julai lalu.
Gigi, 28, dilaporkan menaiki pesawat peribadi ke destinasi popular itu untuk bercuti bersama kawan-kawan rapatnya.
Mereka ditahan selepas pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Owen Roberts menemui sejumlah kecil marijuana dalam bagasi model antarabangsa itu.
Rentetan itu, Gigi ditahan bersama rakannya dan dibawa ke pusat tahanan sebelum didakwa atas pemilikan dadah dua hari kemudian.
Mereka mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dadah dan dikenakan denda sebanyak AS$1,000 bersamaan RM4,500.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak model tersebut, dadah berkenaan dibeli secara sah di New York untuk tujuan perubatan.
“Gigi bercuti dengan membawa dadah jenis marijuana yang dibeli secara sah di New York bersama kelulusan atas lesen perubatan.
“Dadah itu juga atas tujuan perubatan sejak tahun 2017,” katanya. – KOSMO! ONLIN