fbpx

Bekalan beras diakui kurang ketika ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ketika ditemui selepas merasmikan pejabat PPK di Klang hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

KLANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengakui terdapat kekurangan bekalan beras tempatan akibat cuaca ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan cuaca yang dikatakan tidak sesuai telah merencatkan pertubuhan padi bagi menghasilkan bekalan makanan tersebut.

Justeru, katanya, orang ramai diminta membuat laporan kepada kementeriannya sekiranya berlaku kekurangan beras di kawasan mereka agar tindakan dapat dilakukan sewajarnya.
“Bekalan beras tempatan memang berlaku sedikit pengurangan, tetapi kami yakin bekalan beras masih mencukupi (di pasaran tempatan).

“Saya harap pengilang beras dapat keluarkan stok bekalan beras yang mereka. Kami tidak mahu masalah ini berlarutan,” katanya selepas merasmikan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pihaknya telah melakukan perbincangan dengan syarikat Padibernas Nasional Berhad (BERNAS) mengenai masalah tersebut dan satu jalan penyelesaian jangka pendek akan dilakukan secepat mungkin.

Kata Mohamad Sabu, kementeriannya mengambil serius berhubung perkara terbabit dan mengambil segala langkah bagi memastikan bekalan beras tempatan cukup untuk dibeli oleh rakyat negara ini.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan bekalan telur dan ayam kini kembali pulih setelah melepasi tahap getir bekalannya sebelum ini.

“Sudah pulih (isu bekalan telur dan ayam), bahkan ada tempat harga ayam sudah mula turun. Jadi usaha gigih (kementerian) termasuk dialog dengan persatuan penternak telah (membuahkan) berhasil.

“Kita harap tidak ada peperangan baharu dan sebagainya yang boleh menjejaskan import bijirin jagung dan soya sebab kita tahu bijirin jagung kini di tahap permulaan penanamannya tetapi lambat lagi untuk mencukupi bekalan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI