IPOH – Pengalaman berhadapan dengan ‘rasul’ akhir zaman yang tergamak memijak al-Quran lebih 50 tahun lalu antara memori yang kekal di ingatan Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak, Jurij Sulaiman.
Jurij, 87, yang merupakan bekas Ketua Pendakwa Syariah Negeri Perak berkata, tindakan lelaki yang digelar Tok Ayah itu disaksikannya sendiri ketika satu majlis di sebuah kampung di Tapah.
“Dia mengaku dia rasul akhir zaman dan untuk buktikannya, dia ambil al-Quran dan berdiri (pijak) atasnya. Menurut lelaki itu, al-Quran itu adalah yang tertulis, yang tersirat ada di dalam dadanya. Itu caranya menunjukkan dalil yang dia rasul akhir zaman.
“Peristiwa ini memang saya sendiri saksikan bukannya dengar cerita orang. Waktu itu, saya bertugas sebagai pendakwa Mahkamah Syariah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1445 Hijrah di sini hari ini.
Menurut bapa kepada lima anak itu, lelaki dikenali Tok Ayah dan memiliki ramai pengikut itu bagaimanapun kembali bertaubat selepas menyedari kesilapannya. – KOSMO! ONLINE