SKUAD hoki lelaki kebangsaan mempunyai misi serampang dua mata apabila menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou, China pada September ini apabila meletakkan impian untuk membutirkan pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu.
Kapten negara, Muhamad Marhan Mohd. Jalil berkata, kemenangan di temasya Sukan Asia penting bagi mereka untuk memastikan tiket awal ke Sukan Olimpik Paris 2024 mampu dicapai.
“Hanya yang menang layak ke Sukan Olimpik. Jadi, kami perlu bekerja keras dan buat yang terbaik untuk memastikan kami muncul juara.
“Sasaran utama adalah untuk menjadi juara saja, kami tidak pergi untuk menang perak atau gangsa, kami pergi hanya untuk menang emas,” katanya selepas skuad hoki negara muncul penerima Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan menerusi pencapaian muncul juara Piala Sultan Azlan Shah serta naib juara Piala Asia.
Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim pada Majlis Angerah Sukan Negara (ASN) 2022 di Subang Jaya kelmarin.
Bagaimanapun, Marhan mengakui di Hangzhou nanti mereka akan berdepan tentangan hebat terutama pasukan gergasi Asia, India untuk merebut gelaran juara di bumi China itu.
“Kalau kita lihat sekarang, India antara yang kuat, mereka bermain dalam perlawanan berintensiti tinggi dalam saingan Pro League.
“Jadi, kami perlu membuat analisis bagi membaca permainan pihak lawan. Pada masa sama, kami perlu memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan kami supaya dapat menewaskan pencabar kami,” katanya.
Sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia, skuad hoki negara akan menyertai saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos ini.
“Sasaran kami di Trofi Juara-Juara Asia juga adalah untuk menang kerana setiap perlawanan menawarkan mata untuk ranking dunia. Jadi, kami tidak boleh sia-siakan peluang untuk mengutip mata begitu saja,” kata Marhan.