PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa simpati terhadap pertuduhan dihadapi Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di mahkamah.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, kerajaan hari ini menggunakan instrumen undang-undang untuk menekan lawan politik mereka.
“Ini sama sekali bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan oleh mereka dahulu termasuk untuk menghapuskan Akta Hasutan. Inilah wajah sebenar mereka untuk ditatap oleh rakyat,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, antara dasar dan prinsip perjuangan PN yang utama adalah menjunjung, memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.
Kata beliau, prinsip itu akan terus dipertahankan dan dalam menjunjung semangat itu beliau berdoa semoga Muhammad Sanusi yang juga sahabatnya mendapat keadilan di mahkamah.
“Saya juga mengajak seluruh rakyat supaya bersama-sama bermunajat dan mendoakan keselamatan beliau serta kekal bertenang,” katanya. – KOSMO! ONLINE