ARENA bola sepak negara diselubungi berita sedih selepas bekas pengendali Harimau Malaya, B. Sathianathan menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam.
Dikenali sebagai individu yang cukup sayangkan bola sepak, berita ini jadi khabar sedih kerana mendiang cukup lantang dan tegas untuk membantu peningkatan bola sepak negara.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj mengesahkan pemergian bekas pemain bola sepak itu pada pukul 1.25 tengah hari semalam.
“Berani untuk memperjuangkan prinsip dan nilai, itulah Sathianathan. Sathianathan bercakap jujur dan akan dikenang kerana keberanian dan kritikan membinanya.
“Dirinya dikenali tidak ada rasa takut untuk bersuara demi kebaikan. Mendiang akan berkongsi kepakarannya sehabis baik untuk bantu meningkatkan taraf bola sepak Malaysia, sama ada menerusi nasihat, kejurulatihan atau pun teknikal.
“Anda sudah pun membanggakan bola sepak Malaysia. Anda sudah pun berjuang dengan baik Anna,” kata Christopher.
Sepanjang bergelar jurulatih, Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) pernah bantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjuarai Liga Perdana 2012, Felda United (juara Liga Perdana 2018) dan paling diingati adalah bantu Kelantan juarai Piala Malaysia pada 2010.
Sepanjang khidmatnya, Sathianathan pernah raih beberapa anugerah peribadi termasuk dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).
Di peringkat kebangsaan, Sathianathan pernah menjawat penolong jurulatih skuad Olimpik negara dari 1997-1999 dan 2002-2004.
Seterusnya dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya 2007-2009 selain sebelum itu turut melatih skuad B-23 tahun negara dengan berjaya menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007.