ALOR SETAR – Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menafikan dakwaan Ketua Polis Negara bahawa beliau gagal dihubungi sekali gus menyebabkan penahanannya pada pukul 3 pagi kelmarin.
Muhammad Sanusi mendakwa penangkapan beliau pada awal pagi itu juga merupakan satu komplot untuk menggambarkan beliau seorang penjahat.
“Saya tak mahu dia tangkap saya sebab saya tahu komplot ini nak tangkap je dulu kerana tangkapan itu bagi satu naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan. Kalau dia tangkap depan orang ramai lagi dia syok. Jadi saya elak untuk ditangkap, saya kata saya boleh beri kerjasama untuk hadir ke mahkamah.
“Saya dicari salah tak ada tapi sedang direka, sebab itu ada ada tangkapan jam 3 pagi, apa semua kan noh? Supaya menggambarkan dia ini jahat ni. Pukul 3 pagi kena tangkap,” dakwanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.
Semalam Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa penahanan yang dilakukan polis terhadap Menteri Besar itu pada awal pagi adalah bagi memastikan beliau hadir ke mahkamah keesokan harinya setelah gagal dihubungi.
Muhammad Sanusi memberitahu bahawa beliau mempunyai bukti tangkap layar Whatsapp dengan seorang pegawai kanan polis yang meminta supaya penangkapan itu tidak dilakukan memandangkan beliau akan hadir ke mahkamah keesokan harinya.
“Saya nak betulkan kenyataan oleh IGP (Ketua Polis Negara), Tan Sri (Razarudin Husain), dengan penuh kehormatan saya kepada Tan Sri IGP. PC (Sidang akhbar) dia semalam tak betul. Saya ada berkomunikasi dengan pegawai Bukit Aman itu dari pukul 10 malam sampai 12.30 tengah malam. Ada WhatsApp,” katanya.
Kata Muhammad Sanusi, sebagai Menteri Besar dan warganegara yang baik beliau tidak mempunyai masalah untuk memberi kerjasama kepada pihak polis. – KOSMO! ONLINE