KIEV, Ukraine – Harga gandum dan jagung di pasaran komoditi global meningkat kelmarin selepas Russia mengumumkan menarik diri daripada perjanjian penting yang membolehkan eksport bijirin dibawa keluar dari Ukraine, lapor stesen penyiaran CNN.
Niaga hadapan gandum di Papan Perdagangan Chicago melonjak 2.7 peratus kepada AS$6.80 (RM30.83) untuk satu busyel (27.2 kilogram), manakala niaga hadapan jagung meningkat 0.94 peratus menjadi AS$5.11 (RM23.17) satu busyel (25.4 kilogram).
Peningkatan harga itu berlaku berikutan ramai pedagang bimbang tercetusnya masalah bekalan makanan ruji.
Harga gandum sebelum ini turun 54 peratus daripada rekod tertinggi pada Mac 2022 berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, manakala harga jagung adalah 37 peratus lebih rendah berbanding April 2022 ketika ia mencapai rekod tertinggi dalam masa 10 tahun.
Indeks harga makanan yang dikumpul oleh Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan harga komoditi tersebut mencapai paras tertinggi pada Mac 2022, namun menurun secara berterusan sejak dari itu.
Bagaimanapun, penurunan bilangan eksport yang disebabkan oleh tindakan terbaharu Russia itu berisiko mengubah trend berkenaan, di mana indeks harga makanan berkemungkinan meningkat.
White House berkata, perjanjian tersebut yang dipersetujui sebelum ini amat penting untuk menurunkan harga makanan di seluruh dunia yang meningkat selepas Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022.
“Keputusan Russia menggantung penyertaannya dalam Inisiatif Bijirin Laut Hitam akan memburukkan lagi situasi kekurangan bekalan makanan dan mengancam nyawa berjuta-juta penduduk dunia,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Adam Hodge.
Perjanjian Laut Hitam yang pada awalnya ditaja oleh Turkiye dan AS tahun lalu berjaya memastikan penghantaran selamat kapal-kapal yang membawa bijirin dari pelabuhan-pelabuhan Ukraine.
Ia telah diperbaharui sebanyak tiga kali, namun Moscow berulang kali mengancam untuk menarik diri, dengan memberi alasan bahawa Russia telah dihalang mengeksport produknya sendiri.
Menurut data PBB, perjanjian tersebut membolehkan ekport hampir 33 juta tan metrik makanan menerusi pelabuhan-pelabuhan di Ukraine.
Sepanjang hujung minggu lalu, Presiden Vladimir Putin menjelaskan bahawa beliau tidak akan memperbaharui perjanjian tersebut dengan berkata, tujuan utama inisiatif itu untuk membekalkan bijirin ke negara-negara yang memerlukan tidak dapat direalisasikan.
Sebelum perang tercetus, Ukraine merupakan negara pengeksport gandum kelima terbesar di dunia dan merangkumi 10 peratus daripada eksport global, demikian menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.
Ukraine juga merupakan antara tiga pengeksport utama barli, jagung dan minyak biji sesawi, kata firma data pertanian, Gro Intelligence. Ukraine selain itu, merupakan pengeksport terbesar minyak bunga matahari, merangkumi 46 peratus eksport dunia, demikian menurut PBB.
Tahun lalu, kejutan ekonomi akibat impak perang Ukraine serta pandemik Covid-19 menjadi punca utama 27 negara mengalami krisis kekurangan bekalan makanan akut dengan 84 juta penduduk terjejas, demikian menurut laporan platform perkongsian data yang dibiayai Kesatuan Eropah dan AS, Rangkaian Maklumat Keselamatan Makanan.
Minggu lalu, Pengarah Kecemasan Serantau Afrika Timur, Shashwat Saraf menggesa supaya perjanjian Laut Hitam itu dilanjutkan secara jangka panjang bagi mewujudkan kebolehramalan dan kestabilan bekalan makanan di rantau berkenaan.
Bekalan makanan di rantau Afrika Timur berkurangan selepas sejumlah besar tanaman musnah akibat kemarau dan banjir.
“Berikutann 80 peratus keperluan bijirin di Afrika Timur diimport dari Russia dan Ukraine, lebih 50 juta penduduk di seluruh rantau ini berdepan kelaparan selain harga makanan telah meningkat hampir 40 peratus pada tahun ini,” kata Saraf.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Komoditi Capital Economics, Caroline Bain berkata, negara-negara kaya kurang terdedah kepada impak situasi tersebut berbanding negara membangun dan mundur di Asia Barat serta Afrika.
“Kenaikan semula harga komoditi pertanian jelas akan melonjakkan harga runcit makanan tetapi mungkin tidak sebanyak seperti yang anda fikirkan, terutamanya di negara maju,” katanya kepada CNN. – AGENSI