KUALA LUMPUR – Tujuh individu dan sebuah syarikat didakwa mengalami kerugian mencecah RM900,000 selepas mendakwa diperdayakan oleh seorang usahawan dalam pelaburan saham.
Empat anak syarikat proksi pemilik kelab bola sepak yang juga seorang usahawan itu mula mengiklankan tawaran pelaburan menerusi media sosial, Facebook sejak tahun 2020.
Mangsa yang menjumpai iklan tawaran tersebut kemudiannya akan dijemput menghadiri taklimat berkaitan Tawaran Awam Awal (IPO) secara dalam talian sebelum bersetuju untuk melaburkan sejumlah duit.
Namun sehingga kini, kebanyakan mangsa bukan sahaja tidak menerima perkembangan dan pulangan terkini duit pelaburan, namun turut mendakwa tiada ketelusan dalam laporan kewangan beraudit.
Salah seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, iklan yang ditawarkan beserta butir-butir syarikat membuatkan dia berasa yakin untuk melaburkan lebih ratusan ribu ringgit dalam empat syarikat proksi tersebut pada tahun 2020.
Walau bagaimanapun, sehingga kini, mangsa berusia 44 tahun bekerja sebagai profesional di syarikat swasta itu tidak pernah mendapat keuntungan malah 50 peratus daripada keuntungan syarikat dalam bentuk dividen yang dijanjikan juga ‘sepi’.
“Mula-mula saya ingat syarikat dalam keadaan baik lagi. Tetapi makin lama, saya semakin curiga kerana tiada ketelusan dalam laporan kewangan dan tiada langsung Mesyurarat Agung Tahunan (AGM) diadakan. Apabila saya mesej dan bertanya, dia (usahawan) seakan-akan berdolak-dalik. Saya cuma nak tahu adakah wang pelaburan saya diuruskan dengan baik.
“Sampailah saya ada melihat kes seorang mangsa yang berjaya membuat tuntutan mahkamah dan menang melibatkan syarikat yang saya laburkan ini. Jadi saya terus buat laporan polis di Brickfield, Kuala Lumpur bulan lalu,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti awam, juga enggan dikenali berkata, dia telah melabur RM100,000 dalam dua anak syarikat proksi milik pemilik kelab bola sepak itu pada tahun 2020.
Mangsa berusia 35 tahun itu berkata, pada mulanya dia yakin dan percaya untuk melabur kerana kredibiliti yang ditunjukkan dalam kesemua perniagaan pemilik kelab bola sepak itu.
“Saya buat laporan polis pada bulan lepas selepas semua pelabur ini dikumpulkan. Saya cuma nak tahu hak saya sebagai pelabur. Bilakah AGM, mana laporan kewangan yang sudah diaudit. Sehingga kini tiada semua itu.
“Katanya bulan September ada AGM, tapi sampai sekarang tidak terima memo. Daripada tahun 2020 saya mula melabur saya tak pernah berjumpa dia secara berdepan. Term sheet pun baru dapat satu itu pun selepas saya minta pemulangan semula.
“Sehingga kini saya masih berharap pulangan dan duit saya dikembalikan kerana itu adalah hasil titik peluk saya,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili mangsa, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, sehingga hari ini, mangsa-mangsa yang membuat pelaburan tersebut telah membuat tujuh laporan polis, tujuh aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan lima laporan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Walau bagaimanapun, ujarnya, kebanyakannya tidak mendapat respons dan tindakan lanjut daripada pihak berkaitan.
“Telah menjadi satu trend dimana syarikat-syarikat sebegini menggunakan konsep ‘raising capital’ untuk kepentingan peribadi tanpa melunaskan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Saya percaya banyak lagi kes melibatkan syarikat sama, yang mungkin boleh mencecah kerugian berbelas juta ringgit. Tetapi, ada yang tidak tahu atau malu untuk tampil pada kami.
“Justeru, kami mewakili anak guam kami menyeru kepada semua pihak berkuasa untuk beri perhatian dan bertindak dengan segera. Mangsa-mangsa ini menggunakan duit hasil titik peluh mereka sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE