PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang pada enam negeri sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya di Facebook berkata, cuaca buruk itu dijangka melibatkan enam negeri iaitu di Perlis, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, dan Sabah.
“Di Perak, kawasan yang terlibat adalah Manjung, Perak Tengah, Kampar dan Bagan Datuk. Bagi negeri Pahang pula kawasan Pekan dan Rompin.
“Selanjutnya, Selangor daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Petaling. Manakala di Johor pula kawasan Mersing. Di Sabah kawasan terlibat Tawau, serta Sandakan,” ujarnya.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE