fbpx

Ramai tidak sabar, bayar tol guna kad debit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar mesin pengimbas yang telah dipasang di beberapa buah lebuh raya sekitar Lembah Klang

PETALING JAYA – Orang ramai menunjukkan keterujaan masing-masing apabila mendapati beberapa buah lebuh raya di Lembah Klang telah memasang mesin pengimbas bagi menyokong sistem pembayaran terbuka (OPS) yang bakal dilaksanakan September nanti.

Menurut sebuah hantaran di laman Twitter, seorang pengguna telah memuat naik gambar mesin pengimbas berserta kapsyen ‘inilah perubahan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia’.

Kini, hantaran tersebut telah menerima 14,500 tanda suka dan 7,685 ulang ciap.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna sudah tidak sabar untuk menggunakan sistem tersebut yang dikatakan lebih mudah dan efisyen di samping dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol.

“Bila agaknya sistem ini bakal beroperasi ya? Lepas ni, saya tidak perlu lagi ‘top up’ kad Touch ‘n Go di stesen minyak berdekatan. Boleh guna kad debit sahaja,” kata Yaa.

“Ini merupakan penambahbaikan yang bagus. Pada masa depan, kita minta pula sistem bayaran elektronik jalan raya (ERP) seperti di Singapura,” kata Obaidiah.

Bagaimanapun, ada juga yang berharap agar sistem tersebut boleh beroperasi 24 jam dan bukannya sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.

“Saya harap, sistem ini dapat beroperasi selepas pukul 12 tengah malam. Kalau pembayaran ‘fail’, tersangkut pula dalam lebuh raya,” kata seorang pengguna.

“Harap lebuh raya tidak ‘jammed’ sebab tunggu sistem ‘approve’ pembayaran,” kata Paan.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, sistem sistem pembayaran terbuka (OPS) yang melibatkan 12 buah lebih raya dijangka siap menjelang September.

Persetujuan tersebut melibatkan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Lebuh Raya Butterworth – Kulim (BKE).

Turut mengambil bahagian ialah Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP), Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX) dan Lebuh Raya Duta – Ulu Klang (Duke). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI