fbpx

PRN: Pas Terengganu umum calon 27 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu bakal mengumumkan senarai calon parti tersebut yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 27 Julai depan.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, senarai calon tersebut akan diumumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang.

“Pas akan isytihar semua nama calon parti dan jumlah kerusi ditandingi dalam PRN kali ini pada majlis pengumuman itu nanti. Insya-Allah, calon yang akan bertanding mewakili parti dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu juga akan diumumkan dalam majlis sama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Wan Sukairi berkata, Pas telah mengatur strategi terbaik untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kemenangan di 22 kerusi sedia ada.

Tambah beliau juga berhasrat merampas 10 kerusi yang kini dimenangi Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan mutlak di semua 32 DUN negeri.

Difahamkan, Pas dijangka bertanding di 27 kerusi DUN manakala baki lima kerusi lagi akan diwakili calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

PRK Kuala Terengganu pula diadakan setelah Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran sogokan wang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI