GUA MUSANG – Lebih 200 keluarga peneroka di Rancangan Tanah Felda Perasu di sini, bimbang dengan keselamatan mereka dan haiwan ternakan apabila mendakwa sering melihat kelibat harimau belang berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit.
Seorang peneroka, Md. Hussain Senik, 66, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM20,000 sejak dua bulan lalu apabila lembunya menjadi mangsa serangan harimau belang.
Katanya, dalam tempoh tersebut, sebanyak 10 ekor lembu miliknya diserang sehingga mati sebelum ditinggalkan oleh harimau di kawasan ladang.
“Kejadian terbaharu berlaku hampir dua minggu lalu apabila anak saya sendiri pernah menyaksikan seekor harimau menerkam lembu ketika waktu malam. Keesokan paginya, lembu itu didapati sudah mati dan terdapat kesan tapak kaki harimau terbabit.
Md. Hussain memberitahu, dia menternak lebih 40 ekor lembu yang dilepaskan bebas di dalam kawasan ladang sawit miliknya.
Katanya, kejadian serangan harimau belang itu berlaku pada waktu malam sebelum disedari penduduk pada keesokan harinya ketika masuk ke ladang.
Ibrahim Nor, 75, pula berharap pihak berwajib dapat segera mengambil tindakan terhadap haiwan liar yang mengganggu ternakan penduduk kampung.
Katanya, penduduk terpaksa menanggung kerugian besar apabila harga seekor lembu dewasa sudah mencecah RM4,000.
“Kita sudah lapor Perhilitan tetapi haiwan itu belum masuk perangkap. Ia muncul mungkin kerana berada kebun ini berhampiran Gunung Rabong yang dipercayai menjadi habitat asal haiwan terbabit,” katanya.