fbpx

Naimi seronok sepentas dengan Search

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN dram berbakat besar, Naimi Daini teruja dapat mempamerkan kebolehannya bersama kumpulan rock terkenal, Search pada persembahan pertamanya di konsert NusaFest baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Baru berusia 17 tahun, pemain dram berbakat besar, Naimi Daini teruja dapat mempamerkan kebolehannya bersama kumpulan rock terkenal, Search pada persembahan pertamanya di konsert NusaFest yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Menurut Naimi, dia tidak menyangka kemunculan pertama sebagai pemain dram undangan pada konsert tersebut mendapat perhatian dan meraih respons positif daripada kalangan peminat Search.

“Alhamdulillah ramai yang beri maklum balas positif walaupun saya sekadar pemain dram undangan dengan Search.

“Memang gembira dapat bermain dram dengan untuk Search selain terharu kerana uncle Amy memuji dan melihat saya mempunyai persamaan dengan pemain dram terdahulu iaitu Allahyarham Yazit,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar Konsert Hausboom Music 2023 di sini, semalam.

Berkongsi rutin hariannya, Naimi memberitahu dia akan menyertai sesi latihan bersama Search pada waktu petang selepas pulang dari sekolah.

Dia bagaimanpun menegaskan pelajaran tetap menjadi keutamaan dan akan menyambung pelajaran dalam jurusan muzik selepas tamat persekolahan.

“Selepas pulang dari sekolah, saya akan berehat selama satu jam sebelum sertai sesi latihan Search kemudian pulang ke rumah dan siapkan kerja sekolah.

“Insya-Allah saya akan sambung pengajian dalam jurusan muzik dan jadikan bidang itu sebagai kerjaya kelak,” katanya lagi.

Mengenai bagaimana bakatnya ditemui oleh Search, dia memberitahu semuanya berlaku selepas gitaris kumpulan itu iaitu Hillary Ang menonton videonya bermain dram yang dimuat naik dalam YouTube.

“Hillary menonton video saya dalam YouTube dan terus mencari serta menghubungi saya untuk bertanya sama ada berminat bermain dram bersama Search.

“Apabila sudat bersetuju, saya diberikan dua lagu Search iaitu Dairi Habil & Qabil dan Pelesit Kotauntuk dipelajari sebagai uji bakat.

“Saya tak pernah pun dengar lagu-lagu Search sebelum itu, tapi saya memang minat bermain dram. Syukur Search menyukai dan memberi respons positif,” ujarnya.

Pada Konsert Hausboom Music 2023 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 9 dan 10 September nanti, Naimi sekali lagi bakal membuat persembahan bersama Search yang dianggotai Datuk Amy, Nasir Daud selaku pemain gitar bass, Hillary (gitar) dan Man Kidal (gitar).

Kemunculan Naimi juga bagi mengisi kekosongan posisi pemain dram selepas Allahyarham Yazit disahkan meninggal dunia pada 26 September 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI