BACHOK – Pelajar cemerlang, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 memilih melanjutkan pengajian dalam Program Asasi Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM).
Pelajar cemerlang dari Kampung Kandis di sini yang sebelum ini menjaga arwah ibunya terlantar sakit berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama ahli keluarga dan nasihat guru-guru.
Menurutnya, dia ketika ini sedang membuat persiapan untuk mendaftar di Kampus UM cawangan Bachok pada 22 Julai ini.
“Setakat ini, segala persiapan masih belum siap disebabkan oleh kekangan waktu. Insya-Allah.
“Sebelum ini, saya sibuk berulang-alik ke Maahad Yaakubiah Nipah, Bachok bagi mengikuti pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sebelah pagi. Pada waktu petang, saya belajar kereta di Akademi Memandu Amkist (Amkist), Bachok,” katanya semalam.
Berita berkaitan: Pelajar 11A SPM kematian ibu dapat tawaran ke UM, IPG
Berita berkaitan: Pelajar imamkan solat jenazah ibu selepas tiga hari rai keputusan 11A SPM
Muhammad Syahril yang juga bekas pelajar SPM 2022 Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Beris Lalang memberitahu, Kampus UM cawangan Bachok terletak di Mukim Telong hanya kira-kira dua kilometer dari rumah.
Menurutnya, dengan jarak yang dekat, dia pasti keluarga dan saudara maranya dapat hadir memberi sokongan pada hari pertama di kampus itu.
“Syukur, Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan perjalanan hidup saya. Itu adalah ganjaran apabila kita taat kepada perintah-Nya dan orang tua,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Amkist, Noor Haslina Abdullah memberitahu, Muhammad Syahril telah berjaya semua ujian litar memandu kereta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan akan memiliki lesen memandu kelas D tidak lama lagi.
“Dia yang mendapat tajaan Amkist kini memiliki lesen B2 dan D sekali gus boleh dimanfaatkan untuk urusan pengajian dan keluarga,” katanya.